Ketahuilah bahawa, makhluk yang paling saya sayangi di atas dunia ini adalah perempuan.
Percaya?
Saya bukan nak main gula-gula di sini. Tetapi saya serius menyatakannya.
Ketahuilah bahawa, makhluk yang paling saya sayangi di atas dunai ini
adalah perempuan.
Mengapa?
Jika yang lelaki bertanya, saya mungkin memahami. Tetapi perempuan, jika kamu yang bertanya, maka saya kehairanan.
Apakah kamu tidak tahu megapa saya sayangi kamu? Adakah kamu tidak menyedari betapa istimewanya kamu?
Aku dari rahim seorang perempuan
Kalau
difikirkan semula, tiada lelaki yang dilahirkan selain dari rahim ibu
melainkan Nabi Adam AS. Perhatikanlah Sultan, pemerintah, perdana
menteri, laksmana, tentera, pegawai, jurutera, doktor, doktor falsafah,
genius, semuanya dilahirkan dari perut seorang perempuan.
Saya, dari rahim seorang perempuan juga.
Tiada
manusia dilahirkan hebat. Mereka semua dilahirkan sebagai manusia biasa.
Tetapi biasanya manusia-manusia hebat ini mempunyai ibu yang hebat di
sisi mereka. Yang mendidik dan memberikan suasana kepada mereka semenjak
kecil.
Mengapa
pula saya tidak menyayangi perempuan? Mengapa pula saya tidak mengambil
berat terhadap mereka? Dari rahim mereka lahirnya pewaris masa hadapan!
Sekiranya
saya membiarkan perempuan rosak, dirosakkan, merosakkan diri mereka,
maka sama sahaja dengan saya membiarkan masa hadapan dunia hancur,
gelap, kelam dan hitam.
Jangan
lupa, dari rahim perempuan juga lahirnya penderhaka, penjenayah,
perogol, pencuri, yang ingkar kepada Allah, pembohong, dan banyak lagi
manusia-manusia yang mencorakkan dunia dengan kehitaman. Hatta Barrack
Obama juga lahir dari perut seorang perempuan.
Sekiranya perempuan yang menggendong masa hadapan dunia selama 9 bulan 9 hari ini rosak, di mana masa hadapan dunia?
Mustahil
saya tidak menyayangi perempuan. Maka tiadalah harapan yang saya
inginkan, melainkan perempuan juga menyayangi diri mereka dan menjaga
peribadi mereka daripada perkara yang Allah larang dan murka.
Perempuan sayap kiriku
Saya
hendak berkahwin dengan siapa? Mustahil dengan lelaki. Baik macam mana
pun saya dengan mereka, mustahil saya akan berkahwin dengan mereka.
Saya akan berkahwin dengan seorang perempuan.
Mustahil
saya tidak menyayangi kaum ini. Yang menjadi isteri-isteri dan
pendamping kepada lelaki. Yang menjadi pengawal kepada segala rahsia
seorang lelaki. Yang menjadi guru kepada anak-anak seorang lelaki. Yang
menjadi penenang dan penyejuk mata serta pendamai jiwa seorang lelaki.
Kestabilan seorang perempuan, menjamin kestabilan seorang lelaki.
“Apabila
enta bangun tidur dan melihat isteri enta di sebelah, enta akan
merasakan keajaiban penciptaan Allah SWT” ~ Pakcik Rosdi. Dan dia
berkata dalam keadaan tersenyum. Hidupnya bahagia dengan ketenangan
isterinya: Cikgu Maimunah
Maka
mustahil saya hendak membiarkan perempuan rosak, dirosakkan atau
merosakkan diri mereka sendiri. Kerana mereka adalah penjaga-penjaga
lelaki di satu sisi. Suami-suami memerlukan isteri-isteri yang solehah,
yang baik, yang taat kepada Allah dalam rangka hendak membangunkan
ummah.
Tidak
dinafikan isteri-isteri juga memerlukan suami-suami yang baik. Tetapi
bukan sedikit lelaki yang berubah kerana cinta seorang perempuan. Maka
mengapa perempuan tidak mempersiapkan diri mereka lebih sedikit untuk
mengubah seorang lelaki dengan cinta?
MasyaAllah.
Saya amat
menyayangi perempuan. Maka tiadalah harapan saya melainkan perempuan
menyayangi diri mereka sendiri. Menjaga diri dari kerosakan. Menjaga
diri dari kemungkaran. Mempersiapkan diri menjadi hamba Allah yang taat.
Buat apa yang disuruh, meninggalkan apa yang dilarang.
Maka amat menyedihkan saya jika…
Bila
sayang, akan datang ambil berat. Semestinya demikian. Saya amat hairan
kalau seseorang itu menyatakan sayang kepada si fulan: “Aku sayang
sangat dengan kau” kemudian dia melemparkan si fulan itu ke dalam api.
Mustahil itu adalah sayang.
Maka
kerana sayang itu jugalah saya akan terluka apabila melihat
perempuan-perempuan berkeliaran tanpa menutup aurat. Kerana sayang itu
jugalah saya akan tercedera apabila melihat ada perempuan-perempuan
tidak menjaga maruah mereka dan berpeleseran dengan lelaki tanpa segan
silu. Kerana sayang itu jugalah saya akan terasa apabila melihat
perempuan-perempuan menayangkan akhlak buruk mereka. Kerana sayang itu
jugalah saya akan tercucuk dengan perempuan yang tiada rasa malu pada
diri mereka.
Kalaulah
perempuan tahu bahawa mereka memegang nasib dunia. Mereka bakal ibu dan
isteri. Ibu kepada anak dan isteri kepada suami. Nyatakan kepada saya
bagaimana mereka ini tidak memberikan kesan kepada dunia? Semestinya
mereka ini memberikan kesan. Dan kesan yang diberikan oleh kamu wahai
perempuan, bukannya sedikit bahkan besar.
Sudah
wujud di dalam sejarah, kerajaan hebat jatuh kerana seorang perempuan.
Sudah wujud di dalam sejarah, abid hebat jatuh kerana seorang perempuan.
Sebab itu saya sangat menyayangi perempuan dan sering memikirkan mereka.
Apakah perempuan-perempuan memikirkan diri mereka sendiri?
Penutup:
Jika sayang ini tidak berbalas, tidak mengapa. Tetapi…
Jika
sayang ini tidak berbalas, tidak mengapa. Bukan tujuan saya menulis
artikel ini untuk disayangi perempuan. Tetapi tujuan saya menulis
artikel ini untuk perempuan menyayangi diri mereka sendiri.
Maksud sayang pada saya adalah = Hendak masuk syurga bersamanya.
Maka kalau
tak nak masuk syurga dengan saya, at least kamu kena lah rasa hendak
masuk syurga dengan diri kamu wahai perempuan. Maka jagalah diri,
persiapkan peribadi. Kamu pemegang masa hadapan dunia. Dan tiada yang
memberikan kesan lebih besar terhadap dunia selain kamu wahai perempuan.
Kalaulah
kamu tahu betapa sejuknya mata ini melihat perempuan-perempuan yang
berakhlak. Kalaulah kamu tahu betapa senangnya jiwa ini melihat
perempuan-perempuan yang pemalu. Kalaulah kamu tahu betapa seronoknya
kalbu ini melihat perempuan-perempuan yang menutup aurat. Kalaulah kamu
tahu betapa tenangnya diri ini melihat perempuan-perempuan yang menjaga
batas pergaulan.
Wahai perempuan, tidakkah kamu memandang diri kamu berharga?
Maka jangan murahkan.
Siapkan dirimu untuk menggoncang masa hadapan dengan keimanan dan ketaatan.
Bukan dengan kehancuran dan kerosakan.
Sungguh, saya merayu di sini. Agar kamu mencintai diri sendiri.
Sumber asal : http://langitilahi.com ( Hilal Asyraf )
No comments:
Post a Comment